PENDAFTARAN ANGGOTA KOHILAL
Syarat keanggotaan (berdasarkan UUK):
1. Keanggotaan Koperasi KOHILAL terbuka kepada yang beragama Islam.
2. Seseorang yang ingin menjadi anggota Koperasi ini mestilah:
(a) warganegara Malaysia;
(b) telah mencapai umur lapan belas tahun;
(c) bermastautin atau mempunyai hartanah atau bekerja dalam kawasan operasi Koperasi ini; dan
(d) bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan boleh daftar, atau tidak upaya dari segi mental, atau bankrap yang belum dilepaskan,atau pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun.
Permohonan menjadi anggota:
3. Permohonan menjadi anggota hendaklah dibuat dalam borang rasmi koperasi ini dan dialamatkan kepada setiausaha Koperasi atau pegawai Koperasi yang dipertanggungjawabkan.
Fi masuk
4. Tiap-tiap permohonan menjadi anggota hendaklah disertakan dengan fi masuk sebanyak RM10.00 (Ringgit: sepuluh).
5. Fi masuk itu menurut perenggan 50(a) Akta akan dikembalikan kepada pemohon jika permohonannya ditolak oleh Lembaga.
6. Bekas anggota yang memohon untuk menjadi anggota semula dikenakan fi masuk sebanyak RM100.00 (Ringgit: Satu ratus).
7. Penama atau wakil yang sah kepada anggota yang mati jika memohon untuk menjadi anggota dalam tempoh tiga bulan selepas kematian anggota itu, tidak dikenakan fi masuk.
Ikrar Anggota
8. Seseorang yang memohon untuk menjadi anggota hendaklah diminta menandatangan suatu ikrar bahawa dia?
(a) akan terikat dengan Undang-undang Kecil ini dan aturan-aturan aktiviti yang sedia ada serta apa-apa pindaan;
(b) bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan;
(c) bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar; dan
(d) tidak pernah dibuang daripada keahlian mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun.
9. Mana-mana pemohon yang enggan menandatangan ikrar tersebut tidak boleh diterima menjadi ahli.
Penerimaan menjadi anggota
10. Permohonan menjadi anggota akan dipertimbangkan oleh mesyuarat Anggota Lembaga Koperasi (ALK)
11. Keputusan menerima atau menolak sesuatu permohonan boleh dibuat tanpa menyatakan apa-apa sebab.
12. Seseorang yang diterima menjadi anggota akan diberitahu secara bertulis dalam tempoh tidak lewat daripada tiga puluh hari selepas penerimaannya itu.
Hak, kewajipan dan liabiliti anggota
13. Menurut seksyen 28 Akta, tiap-tiap anggota yang telah menjelaskan bayaran RM500.00 (Ringgit: lima ratus) syer boleh melaksanakan segala hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota, sebagaimana yang terkandung di dalam Undang-undang Kecil Kohilal



